Subscribe via email
Thursday, December 8, 2011
Persatuan Negeri Dan Kelab Masih Ada Peluang Kedua Daftar Pemain Impor
Persatuan bola sepak negeri dan kelab yang tidak sempat mendaftarkan pemain import dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga tarikh akhir Khamis untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim depan, masih boleh melakukannya pada 2 April depan.
Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pasukan bola sepak negeri dan kelab tidak perlu terburu-buru untuk melakukan pendaftaran pemain import bagi mengelak berlakunya kesilapan dalam pemilihan pemain.
"Adalah lebih elok jika mereka berhati-hati daripada berhadapan dengan risiko tersalah memilih pemain kerana pengambilan pemain import membabitkan kos yang agak tinggi," katanya di sini pada Rabu.
Hamidin berkata semua pasukan yang akan beraksi pada Liga Malaysia pada musim 2012 telah selesai melakukan pendaftaran bagi pemain tempatan cuma beberapa pasukan yang belum mendaftarkan pemain import.
Katanya peluang kedua untuk membuat pendaftaran pemain import boleh dilakukan pada 2 April itu secara talian melalui "Transfer Matching System" (TMS) yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Buat masa sekarang FIFA menutup seketika pendaftaran TMS dan akan membuka kembali pada 2 April nanti... persatuan dan kelab boleh membuat pendaftaran pada tarikh tersebut," katanya.
Sistem Transfer Matching System (TMS) diperkenalkan FIFA pada Febuari 2008 bagi melicinkan proses pemindahan pemain yang melibatkan 4,600 kelab dan persatuan bola sepak di seluruh dunia.
Saingan Liga Super dan Liga Perdana musim baru 2012 dijadualkan bermula pada awal Januari depan.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment