Subscribe via email

Masukkan email anda untuk dapatkan update terkini dari kami:

Delivered by sukakereta

Wednesday, December 14, 2011

LALUAN SUKAR BUAT ATM


PASUKAN Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima dugaan pertama apabila menerima undian sukar sepanjang saingan Piala FA musim depan.

Pada majlis undian Liga Malaysia (Liga M) 2012 yang diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam semalam, ATM yang dibimbing bekas jurulatih Kelantan, B. Sathianathan bakal berdepan juara Piala FA 2004, Perak seawal pusingan pertama pada 18 Februari depan.

Jika berjaya melepasi cabaran Seladang, ATM masih belum boleh menarik nafas lega, lantaran juara Piala FA musim, Terengganu dijangka menunggu mereka di pusingan kedua memandangkan Sang Penyu dilihat tidak berdepan masalah memadam cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pusingan pertama.

Paling menarik, dugaan ATM juga tidak berhenti di situ kerana pasukan negara jiran, Lion XII FC berpeluang cerah menanti mereka di suku akhir apabila sekadar diundi menentang UiTM FC pada pusingan pertama, selain diramal tidak berdepan masalah membenam pemenang antara Betaria FC dan Melaka pada pusingan kedua.

Begitupun, Sathianathan tidak mudah melatah, tambahan pula beliau kini memiliki nama-nama besar termasuk Hairuddin Omar (Hai-O), Marlon Alex James, Irwan Fadhli Idrus dan dua tonggak kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak.

“Bagi saya, peluang kesemua pasukan masih sama rata meskipun kami dilihat kuat di atas kertas.

“Biarpun ramai peminat yang menaruh harapan yang tinggi kepada ATM, sasaran utama kami hanyalah mahu layak ke Liga Super bagi musim 2013 dan kejayaan-kejayaan lain saya cuma sifatkan sebagai satu bonus,” katanya.

Nada berbeza pula disuarakan pengendali baharu Terengganu, Mat Zan Mat Aris yang optimis pasukannya mampu menjulang skurang-kurangnya tiga piala pada musim ini.

“Meskipun diundi dalam laluan yang sama dengan ATM dan Lions XII, saya tetap menaruh keyakinan terhadap kesemua pemain saya, itu yang lebih mustahak,” katanya.

Juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan juga berdepan tugas getir apabila bakal berdepan Johor FC yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Selangor, K. Devan pada pusingan pertama.

Jika menang, mereka bakal membuat perhitungan dengan semifinalis musim lalu, Selangor yang turut dilihat tidak berdepan masalah menewaskan pasukan berstatus kelab, Shahzan Muda di pusingan pertama.

“Bagi saya peluang masih 50-50, ia memang tugas yang cukup berat, terutamanya kehilangan sebahagian besar pemain yang mengambil keputusan untuk berhijrah.

“Saya fokus satu persatu terlebih dahulu, bila menang dengan Johor FC, baru saya fikirkan mengenai Selangor,” kata pengendali skuad Rusa, Azraai Khor Abdullah.

Finalis Piala FA dan juga juara Liga Super musim lalu, Kelantan begitupun dijangka tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir apabila mendapat undian mudah menentang Sarawak di pusingan pertama sebelum menanti pemenang antara Kuala Lumpur dan MP Muar di pusingan kedua.

Pusingan kedua Piala FA 2012 bakal dilangsungkan pada 10 Mac tahun depan, manakala aksi suku akhir bakal diadakan pada 24 dan 27 Mac.

Saingan separuh akhir pula akan dilangsungkan pada 21 April dan 1 Mei depan, manakala aksi final bakal berlangsung pada 19 Mei.

2 comments:

Ahmad Syuxer said...

takpe bro..import dorang sungguh power

Mr. Rocco said...

all da best ATM! haha

LIVE STREAM FOOTBALL