Subscribe via email

Masukkan email anda untuk dapatkan update terkini dari kami:

Delivered by sukakereta

Tuesday, December 6, 2011

BADROL BAKHTIAR TERIMA TAWARAN PELITA JAYA

Tonggak utama pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar berharap Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) akan mempertimbangkan hasratnya untuk menyertai kelab Liga Super Indonesia, Pelita Jaya.

Beliau berkata tawaran seperti itu sememangnya dinanti-nantikannya kerana mahu menimba pengalaman baru selain mahu meningkatkan mutu permainan.

"Saya telah mengadakan perbincangan lanjut dengan KFA mengenai perkara ini kerana tawaran yang diterima dari kelab tersebut hanya dalam bentuk lisan.

"Namun segala keputusan akan dibuat sekurang-kurangnya sehari dua lagi dan saya menyerahkan perkara ini kepada pihak pengurusan (KFA) untuk mempertimbangkan peluang ini," katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan mesra antara pemain skuad Sukan SEA dengan para peminat, anjuran Nike Malaysia di sini Selasa.

Turut serta ialah enam lagi pemain iaitu Mohd Muslim Ahmad, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, K Gurusamy, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Asraruddin Putra Omar dan Mohd Irfan Fazail.

Anak kelahiran Sungai Petani ini yang masih mempunyai kontrak setahun lagi bersama skuad Kenari sehingga hujung tahun depan, berkata beliau ingin mengikut jejak langkah Safee Sali yang turut bermain dalam kelab yang sama yang berpangkalan di Jawa Barat.

"Ia memang merupakan tawaran yang terbaik bagi saya untuk mengembangkan pengalaman dan saya telah mendapat nasihat daripada Safee. Banyak kata-kata positif yang dia berikan kepada saya untuk beraksi bersama pasukan luar negara," katanya.

Beliau berkata sekiranya masih bermain dengan pasukan Kedah musim depan, beliau menyasar untuk membantu Kedah menduduki kelompok lima terbaik dalam Liga Super.

"Perancangan bersama Kedah semestinya yang terbaik akan saya lakukan bagi memartabatkan sekurang-kurangnya satu piala dibawa pulang pada 2012," katanya.

source : BERNAMA

No comments:

LIVE STREAM FOOTBALL