PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berusaha membuat rayuan kepada badan induk bola sepak dunia (FIFA) untuk Safee Sali sekiranya kejohanan Liga Super Indonesia (ISL) sudah sah diharamkan.”
Demikian respons Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar kecil) ketika diminta mengulas mengenai nasib yang bakal menimpa penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali sekiranya ISL diharamkan.
Safee kini beraksi dengan kelab Indonesia, Pelita Jaya dan pemain kelahiran Kajang, Selangor itu mungkin tidak boleh mewakili skuad negara sekiranya ISL diharamkan.
Katanya, meskipun FAM tidak terlibat dalam perundingan Safee bersama pengurusnya, Zakaria Rahim dengan bekas kelabnya, Selangor dan Pelita Jaya, FAM tetap akan membantu Safee daripada terjebak dengan status haram ISL.
Menurutnya lagi, kehilangan peledak berbisa Asia Tenggara itu pasti dirasai oleh skuad negara selepas kesemua pemain yang beraksi di ISL akan dikenakan pembekuan status perpindahan.
“Sudah tentu FAM akan membantu Safee meskipun rundingan perpindahan ke Pelita Jaya dari Selangor hanya melibatkan Safee bersama pengurusnya (Zakaria) sahaja.
“Kehilangan Safee yang tidak dapat mewakili negara sekiranya dia mendapat status haram sememangnya sukar untuk diterima oleh peminat-peminat bola sepak tempatan.
“Skuad kebangsaan masih menagih khidmat Safee. Oleh itu, FAM mungkin akan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi menangani masalah ini mengikut undang-undang FIFA,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Azzuddin memberitahu kesahihan berita mengenai pengharaman ISL belum lagi terjawab memandangkan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada FIFA setakat ini.
Jelasnya, beliau berharap peminat-peminat bola sepak tempatan bersabar dan tidak bertindak secara melulu untuk membuat sebarang spekulasi selagi surat pengharaman ISL oleh FIFA belum disahkan.
“Saya tidak mengetahui hal itu terjadi (ISL diharamkan oleh FIFA). Saya akan pastikan maklumat tersebut benar terlebih dahulu sebelum mengemukakan rayuan kepada FIFA.
“Saya berharap penyokong tempatan tidak mudah terpedaya dengan khabar angin atau membuat sebarang spekulasi mengenai hal ini selagi isu ini belum disahkan oleh pihak FIFA,” katanya.
Sementara itu, Safee ketika dihubungi Kosmo! enggan mengulas lanjut berhubung isu pengharaman ISL. Bekas penyerang Selangor itu akan menjelaskan situasi tersebut pada sidang media minggu depan.
“Saya akan menjawab segala pertanyaan pada sidang akhbar Isnin depan,” katanya.
Safee sebelum ini berkata, sekiranya kelab Pelita Jaya yang diwakilinya terlibat dengan penggantungan FIFA, beliau akan cuba mencari peluang bermain di negara lain dan dalam masa yang sama mahu bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia.
Semalam, portal berita akhbar Republika Indonesia melaporkan, surat pengharaman ISL oleh FIFA itu ditujukan kepada Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin yang menyatakan ISL adalah liga yang tidak diakui oleh badan dunia itu.
Menurut kandungan surat tersebut, FIFA menerusi surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agungnya, Jarome Valcke dan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay menetapkan status haram kepada semua pemain, pegawai dan pengadil yang terlibat dengan ISL.
“Pemain yang bermain di ISL juga akan dikenakan pembekuan status perpindahan. Ini bermakna pemain tidak boleh bermain dalam liga atau kejohanan di negara yang merupakan anggota FIFA.
“Pemain seperti Safee juga terancam, tidak boleh bermain di luar ISL,” menurut portal tersebut.
FIFA bagaimanapun memberikan tarikh akhir 20 Mac tahun depan kepada Indonesia untuk menyelesaikan segala polemik yang berkaitan dengan arena bola sepak di republik itu atau berdepan dengan tindakan penggantungan atau pengharaman.
ISL merupakan kejohanan kelab-kelab bola sepak profesional di Indonesia tetapi tidak bernaung di bawah PSSI.
No comments:
Post a Comment