Subscribe via email
Saturday, December 10, 2011
MAT ZAN PUAS HATI GANDINGAN PEMAIN IMPORT DAN HARIMAU MUDA
Kehadiran tiga pemain skuad Harimau Muda dalam pasukan Terengganu sudah pasti menjanjikan saingan sengit kepada pemain merebut tempat dalam kesebelasan utama dalam mengharungi kempen Liga Super musim depan.
Jurulatih baru Mat Zan Mat Aris berkata in kerana kebolehan dan standard antara pemain Harimau Muda dan barisan pemain negeri tidak banyak berbeza malah ia mendorong semua pemain meningkatkan prestasi masing-masing bagi terpilih dalam skuad kesebelasan utama.
Pemain skuad Harimau Muda yang akan menyarung jersi Terengganu musim depan ialah Mohd Muslim Ahmad, Shukor Jusoh dan Mohd Faizal Muhamad.
Mat Zan berkata prestasi pemain Harimau Muda tidak dapat dipertikaikan dan mungkin menjadi aset kepada pasukan Terengganu tahun depan.
Di samping itu, beliau yakin skuad Penyu itu akan bertambah mantap dan cemerlang dengan adanya penyerang import Sibi Ghawa dari Nigeria dan pemain tengah Tercio Nunes Machado dari Brazil.
Mat Zan berkata beliau menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala akan dimenangi Terengganu dalam kempen Liga Malaysia musim depan khususnya Piala Liga yang tidak pernah dikecapi oleh negeri itu sebelum ini.
"Pada saya Liga Super kita tidak pernah menang, seboleh-bolehnya kita mahu memenangi Piala Liga tahun depan," katanya.
Mat Zan yang pernah membimbing pasukan Terengganu pada 2001 berkata skuad itu juga menyasarkan Piala Malaysia tahun depan memandangkan hanya memenangi piala itu pertama kali 10 tahun yang lalu.
Beliau berkata barisan pemain-pemain yang ada dalam skuad Terengganu hari ini hampir menyerupai skuad Terengganu 2001.
"Saya rasa inilah skuad yang terbaik dan mampu merealisasikan hasrat dan sasaran Terengganu itu," katanya.
Pada musim ini, Terengganu menjulang Piala FA selain menjadi naib juara Liga Super di belakang Kelantan dan gagal menjulang Piala Malaysia setelah kalah 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir.-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment